Pak Lah berada pada posisi selamat
Kulai, 13 Febuari, 2004
Akhir-akhir ini seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan isu-isu besar yang sensasi dan menggemparkan seluruh negara. Kes pendakwaan rasuah ke atas Eric Chia dan Kasitah Gadam merupakan isu terkini yang rakyat marhain tidak sabar-sabar untuk melihat kesudahannya. Ramai tertanya-tanya mengapa setelah sekian lama isu ini diketengahkan kepada masyarakat, hanya baru kini ia diambil tindakan. Ini bermakna, isu dan kes besar ini telah diperap lama oleh kepimpinan di bawah Dr. Mahathir untuk menjaga kepentingan individu-individu tertentu yang amat jelas berjalan di atas dasar kronisma.
Pada hari ini, apabila hantu raya yang selama ini memberi perlindungan kepada penyangak-penyangak yang telah merompak harta kerajaan dan rakyat, mereka berada di dalam keadaan yang "fragile" dan mudah sahaja dimusnahkan. Sebelum ini ramai berpendapat bahawa Pak Lah akan sentiasa dibayangi Dr. Mahathir walaupun dia dikatakan telah "bersara". Rupa-rupanya, Pak Lah yang selama ini dianggap lemah dan tidak berkemampuan telah bersedia menunjukkan taringnya yang selama ini terpaksa disembunyikan di bawah regim Mahathir.
Di dalam suatu forum yang diadakan oleh Channel Newsasia di Singapura, corak kepimpinan Dr. Mahathir dan Pak Lah hangat diperkatakan. Apa yang saya boleh simpulkan daripada program tersebut ialah Pak Lah tidak punya pilihan lagi. Hendak dipacu negara ini kepada projek-projek mega, kantung negara sudah hampir kering dan negara tidak mampu lagi menanggung hutang luar yang terlalu besar. Lagipun, tentunya orang akan berkata, "Pak Lah hanya meneruskan idea Mahathir, tak perlu fikir susah-susah".
Pak Lah tidak mahu dianggap begitu. Walaupun kewangan negara berada di dalam keadaan kekeringan, Pak Lah masih mencari jalan untuk menunjukkan kredibiliti beliau. Langkah mudah yang beliau ambil ialah dengan menangkap anak-anak jerung yang sudah lama hidup bebas di zaman Mahathir. Apabila ini berlaku, tentunya kecemerlangan Mahathir akan tercalar, dan Pak Lah tak perlu bersusah-susah memikirkan bagaimana untuk menaikkan diri beliau. Cukup baginya menjatuhkan kredibiliti Mahathir.
Mengapa Pak Lah menjadi sebegitu berani, sedangkan ramai menyangka bayang-bayang Mahathir masih mengekori Pak Lah. Mengikut fikiran saya, yang mungkin berbeza daripada fikiran mereka yang duduk di dalam politik UMNO, Pak Lah telah mengatur strategi yang ampuh yang Mahathir sendiri mungkin tidak menyangka bahawa Pak Lah mampu bertindak demikian. Bagi Pak Lah, segala ketakutan yang menyelubungi kebanyakan pemimpin UMNO di zaman Mahathir telah berjaya beliau kekang.
Apa yang menakutkan pemimpin-pemimpin UMNO?
ISA; Kuasa ISA dipegang oleh Menteri Dalam Negeri yang dipegang oleh Pak Lah sendiri, dan bahkan timbalannya adalah bekas pemimpin utama Semangat 46 yang Pak Lah pernah sekejap duduk di dalamnya.
BPR; Jabatan ini hanya akan bertindak dengan lampu hijau Perdana Menteri dan pegawai-pegawai BPR yang telah lama menyimpan rekod-rekod buruk pemimpin pengampu Mahathir tentunya merasa selamat untuk bertindak sekarang.
Mahkamah; Jabatan Kehakiman yang sering diperkuda duduk di bawah kuasa Rais Yatim. Beliau juga merupakan bekas pemimpin utama Semangat 46 yang telah berkubur itu. Kemungkinan beliau sentiasa mempertahankan Pak Lah adalah sangat besar.
Pemimpin-pemimpin lain yang selama ini menjadi anak tiri kepada Mahathir tentunya tidak keberatan untuk menyokong dan berdiri di belakang Pak Lah apabila beliau mendera anak-anak kesayangan Mahathir seperti Eric Chia dan Kasitah Gadam. Maka, mampukah Rafidah dan lain-lain pemimpin yang sewaktu dan sejamaah dengannya untuk terus tersenyum? Selamatkah Najib?
Kesudian Pak Lah untuk meraikan program Kementerian Pertanian di Kluang yang mendapat liputan meluas media merupakan suatu petunjuk, siapa yang lebih disayangi Pak Lah, Najib atau Muhyideen.
Pendek kata, kata orang putih "This is the right time for Pak Lah to make the move" - Ini masa terbaik Pak Lah untuk membuka langkah dan masa untuk orang-orang seperti Rafidah untuk membuka langkah juga - langkah seribu!!!!
Kembali