Pegawai kerajaan perlu ambil iktibar
Kulai, 14 Febuari, 2004
Apabila melihat perkembangan mengenai rasuah yang memang sebati di dalam kerajaan BN, saya terfikir akan nasib pegawai-pegawai kerajaan yang selama ini dijadikan mangsa kerakusan pemimpin kerajaan ini. Sebahagian pegawai ini terpaksa bersyubahat dengan pemimpin BN hanya kerana teringin nak hidup senang. Yang simpatinya ialah kepada pegawai kerajaan yang dipaksa atau terpaksa kerana menjaga jawatan dan periuk nasi mereka.
Nasib pegawai-pegawai ini seolah-olah tidak terbela apabila mereka dijadikan kambing hitam bagi melepaskan pemimpin-pemimpin besar mereka. Bagi pegawai yang tidak berhati-hati, mudah sahaja mereka dipersalahkan untuk rasuah atau penggelapan wang sedangkan pemimpin-pemimpin yang punya ramai penasihat dan wang dengan mudah dapat mengelak dari dihukum. Ini berlaku di dalam kes PPRT, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain kes yang melibatkan jabatan dan kementerian di Malaysia.
Mungkin inilah sebab mengapa kerajaan PAS lambat mendedahkan penyelewengan yang berlaku di zaman pemerintahan BN di Terengganu dan Kelantan walaupun dokumen dan bukti mengenainya terlalu banyak. PAS tidak mahu pemimpin-pemimpin UMNO ini terlepas, sedangkan pegawai-pegawai kerajaan yang sebahagiannya tidak punya pilihan terpaksa dihukum kerana menanggung dosa pemimpin-pemimpin UMNO.
Jadi, di sini suka saya mengingatkan semua pegawai kerajaan, tidak kira di jabatan mana, (untuk konteks Kulai yang famous ialah PDRM, MDK, PPD, Pejabat Tanah dan seumpamanya), bertindaklah menurut lunas undang-undang. Kalau hari ini kamu merasa selamat untuk memihak dan menutup segala penyelewengan pemimpin kamu, esok belum tentu pemimpin-pemimpin kamu masih berkuasa. Tidak perlu tunggu parti-parti pembangkang mengambil alih tampok pemerintahan untuk melihat seorang demi seorang pemimpin dan pegawai kerajaan di heret ke mahkamah. Pertukaran kepimpinan di dalam BN itu sendiri sudah cukup untuk membolehkan keadaan berubah 180 darjah, kerana UMNO mengamalkan politik berpuak dan politik balas dendam yang amat dahsyat....
Pegawai kerajaan yang tidak segan silu melakukan penyelewengan hanya kerana mendapat perlindungan pemimpin kerajaan, tunggu sajalah hari kamu... Ingatlah, bagi pemimpin BN, kamu hanyalah kambing hitam... Bila tiba musim korban, kamu tidak boleh bermegah lagi dengan bau kamu yang busuk atau tanduk kamu yang besar... Sembelih tetap sembelih...
Kembali