Ibubapa Pening Kepala Setiap Tahun Baru Persekolahan
Kulai, 14 Febuari, 2004
Apabila tiba tahun baru persekolahan, ibubapa semakin runsing apabila mendapati wang yang terpaksa disediakan bagi membayar semua peralatan dan keperluan serta yuran itu dan ini yang berbagai-bagai semakin tinggi setiap tahun. Ada ibubapa yang bersungut kerana terpaksa membeli peralatan dan pakaian daripada pihak sekolah, sedangkan kesemuanya itu telah dibeli atau tidak perlu dibeli kerana yang digunakan oleh kakak atau abang murid-murid tersebut pada tahun sebelumnya masih boleh digunakan lagi.
Ada juga ibubapa yang bersungut apabila anak mereka terpaksa membeli pakaian baru yang lain apabila pihak sekolah melantik anak mereka sebagai pengawas atau pengawas perpustakaan. Pakaian sekolah yang baru dibeli tidak boleh digunakan kerana pengawas atau pengawas perpustakaan mesti memakai pakaian yang berwarna lain dari yang biasanya dipakai oleh pelajar-pelajar lain. Perkara ini dianggap membebankan dan mereka berpendapat pihak sekolah sepatutnya memaklumkan kepada murid tersebut sebelum tamat tahun persekolahan sebelumnya supaya ibu bapa tidak perlu membazirklan wang membeli pakaian yang tidak diperlukan. Kata mereka, pihak sekolah memilih penmgawas dan pengawas perpustakaan berdasarkan keputusan pelajar pada tahun sebelumnya, maka sudah sepatutnya pelajar tersebut sudah dikenalpasti sebelum tahun baru persekolahan bermula.
Fenomena lain ialah pihak sekolah memaksa pelajar-pelajar mendapatkan wang daripada ibubapa setiap kali sekolah ingin menganjurkan sesuatu program termasuk mengumpul dana untuk PIBG dan majlis-majlis lain yang bagi sesetengah ibubapa yang miskin dianggap amat membebankan dan merunsingkan mereka.
Kembali