Islamnya Saidina Omar jadi motivasi kepada petugas PAS
Taman Anjaria, 10 Febuari, 2004
Usrah Lujnah Tarbiyyah dan urusan Ulamak di Taman Anjaria yang diadakan di PASTI telah memberi banyak motivasi kepada petugas-petugas PAS. Sejarah Saidina Omar memeluk Islam telah dijadikan tajuk utama perbincangan pada malam tersebut. Pembentangan yang telah dilakukan oleh Setiausaha PAS Kawasan Kulai dan disambung perbincangannya oleh Ketua Lujnah Tarbiyyah Kawasan telah diterima secara positif oleh semua yang hadir.
Saidina Omar sebelum Islamnya menjadikan Islam dan Muhammad SAW sebagai musuh utamanya. ini disebabkan beliau percaya Rasulullah SAW telah memecah-belahkan masyarakat, memisahkan antara anak dengan ayah, mencerca agama nenek moyang dan berhala-berhala mereka. Salah faham yang diterima oleh Omar adalah kerana sifat pemarah dan perengusnya, ditambah dengan tabiat araknya dan sikap mengapi-api oleh rakan-rakan di sekelilingnya, sehingga beliau tidak mampu berfikir secara waras.
Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Qur'an daripada surah Thaaha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah, Omar menjadi seorang muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Pada hari ini, ramai di kalangan umat Islam yang telah membaca dan khatam al-Qur'an berkali-kali, termasuk daripada kalangan tokoh agama, tetapi masih menjadi penentang Islam yang sangat kuat.
Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Kalau sahabat-sahabat lain, apabila memeluk Islam, merteka akan disiksa dengan pelbagai siksaan dan dipulaukan keluarga mereka, lain pula yang berlaku kepada Omar kerana tiada siapa yang berani berdepan dengannya. Keadaan ini meresahkan Omar kerana dia bimbang Islamnya tidak sesempurna sahabat-sahabat lain yang terus diuji apabila menyatakan keislaman masing-masing. Lantas Omar terus mengiklankan keislamannya sehingga golongan jahiliyyah dan pemuka-pemuka Quraish telah memukul beliau. Barulah Omar merasa lega.
Nyata, Omar berubah 180 darjah daripada zaman sebelum islamnya. Kalau dulu beliau menjadi penentang Islam yang paling kuat, selepas Islamnya, beliau menjadi pembela Islam yang paling kuat. Islam dan Rasulullah tidak lagi sewenangnya dihina dan direndahkan kerana takutkan Omar.Malangnya, hari ini, umat Islam mengambil jalan mudah dengan mengambil sikap mengalah setiap kali Islam dipermainkan dan dihina. Alasannya, lebih baik mengalah daripada hidup susah. Biarlah Islam dihina asalkan umat Islam dapat terus hidup tanpa tekanan. Biarlah mulut umat Islam bisu, asalkan periuk nasi umat Islam tidak terganggu.
Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam di akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syorga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.
Kembali