PAS dan KEADILAN akan bertanding kerusi DUN
Kulai, 05 Febuari, 2004
PAS dan KEADILAN telah mengesahkan bahawa kedua-dua parti di dalam BA ini akan bertanding bagi merebut 2 kerusi DUN di dalam Parlimen Kulai. PAS mengesahkan bahawa parti tersebut akan bertanding merebut kerusi DUN Bukit Permai sementara KEADILAN akan merebut kerusi DUN Bukit Batu. Kenyataan ini telah dikeluarkan kepada pemberita-pemberita akhbar berbahasa Cina di Markas PAS Kawasan Kulai.
Liew Shin Keong, Timbalan Ketua Bahagian KEADILAN Kulai, telah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding bagi DUN Bukit Batu. PAS walau bagaimanapun masih belum mengesahkan calon yang mewakili parti itu bagi DUN Bukit Permai dan memilih untuk mengumumkannya selepas Parlimen dibubarkan. Sdr Faridz, Setiausaha PAS Kawasan Kulai selaku jurucakap, menyatakan bahawa PAS tidak mempunyai masalah calon kerana parti itu mempunyai ramai calon yang berwibawa yang boleh menyaingi mana-mana calon UMNO yang mungkin diletakkan di DUN Bukit Permai. Setakat ini PAS mempunyai lebih dari 3 orang calon yang semuanya berumur kurang dari 40 tahun yang boleh bergerak aktif bagi memberi khidmat kepada pengundi di DUN Bukit Permai.
Apabila ditanya tentang keyakinan PAS memenangi DUN Bukit Permai, Sdr Faridz menyatakan bahawa PAS bertanding untuk menang dan PAS bersedia mengerahkan segala kekuatan yang ada bagi memenangi DUN Bukit Permai. Terpulanglah kepada pengundi untuk menentukan siapa calon pilihan mereka. Antara isu yang bakal digunakan kepada pengundi ialah isu kenaikan harga air, isu tol Senai (walaupun ada ura-ura tol tersebut dimansuhkan menjelang pilihanraya) dan isu pendidikan.
Kembali