Isu hangat menjelang pilihanraya

Kulai, 01 Januari, 2004

Walaupun tarikh pilihanraya tidak dapat ditentukan secara tepat, kawasan Kulai tetap memperhebatkan isu-isu yang dijangka dapat membantu meraih simpati dan undi menjelang pilihanraya umum 2004. Isu-isu yang diketengahkan masih berkisar kepada isu yang menaikkan kemarahan rakyat seperti isu Tol-Senai dan kenaikan harga air.

Isu Tol Senai yang tidak berkesudahan telah menaikkan kemarahan banyak pihak. Antaranya ialah pertemuan pemimpin masyarakat Cina dan Persatuan Peniaga Cina di Kulai yang secara khusus membincangkan dan merangka satu memorandum bantahan terhadap penerusan Tol Senai yang nyata membebankan rakyat. Tol yang pada mulanya diperkenalkan dengan kadar RM 0.50 sen telah diberi jaminan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa ia merupakan kutipan sementara sehingga Lebuhraya Utara-Selatan siap sepenuhnya. Malangnya setelah Lebuhraya Utara-Selatan siap pembinaannya, tol tersebut bukan setakat tidak dimansuhkan, bahkan dinaikkan pula kadarnya sehingga RM 2.00.

Tol tersebut nyata membebankan ramai pihak, tidak kira pengguna individu atau komersil. Masalahnya, kerajaan tidak menyediakan laluan alternatif yang tidak bertol kepada pengguna jalanraya di Kulai selain dari jalan persendirian melalui IOI dan Senai Airport.

Paling mendukacitakan, ADUN Bukit Permai, Hj Adam Hamid, yang juga Exco Kerajaan Johor dilihat cuba menangguk di air keroh apabila turut sama mempertikaikan tol berkenaan di hadapan masyarakat peniaga Cina sedangkan pada masa yang lain beliau merupakan penyokong kuat setiap tindakan dan polisi kerajaan termasuk kenaikan harga air oleh SAJ Holding. Bayangkan, beliau telah mempertahankan kenaikan harga air 34% kepada semua pengguna dan lebih teruk lagi kepada premis perniagaan dan industri yang menggunakan banyak air.

Kajian yang dibuat menunjukkan kenaikan harga air secara mendadak iaitu pada kadar RM 11.50 s.b. pada tahun 2000, RM 14.00 s.b pada tahun 2001 dan RM 17.50 s.b pada tahun 2003. Mengikut ramalan, pada tahun 2026 (semakan harga kali ke-t) kenaikan harga air akan meningkat kepada 364% berbanding tahun 2000 iaitu pada kadar RM 53.41 s.b.

Komen Hj. Adam Hamid tentang kenaikan harga air ini ialah

"Kenaikan tarif air tidak membebankan rakyat.....". Rakyat bagaimanakah yang dimaksudkan oleh beliau. Rakyat bawahan seperti kebanyakan penduduk di Kulai yang semakin ramai kehilangan kerja dan sumber pendapatan, atau rakyat kelas atasan seperti beliau yang mempunyai banglo-banglo mewah dan kenderaan-kenderaan mewah yang memang tidak perlu risau tentang kenaikan harga air.

Paling menyedihkan, Menteri Besar Johor, Ghani Othman, nampaknya lebih mementingkan pihak korporat berbanding rakyat bawahan apabila memberi komen "Kenaikan tarif ini adalah untuk mengurangkan bebanan kos SAJ Holding". Beban apakah yang ditanggung oleh SAJ Holding yang telah mengaut keuntungan RM 377.2 juta pada tahun 2002.

Rakyat bukan sahaja menanggung beban langsung atas kenaikan air, bahkan akan menanggung beban tidak langsung apabila para peniaga dan pengusaha akan menaikkan harga barangan mereka seperti yang dinyatakan Lo Kee Jam dari Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat "Kenaikan tarif air akan mendorong pengusaha makanan menaikan harga jualan mereka."

Nah, fikirkan wahai pemimpin BN, tembolok siapa yang kamu pentingkan? Tembolok kroni atau rakyat yang telah mengundi kamu.....

 

Kembali